Sunday, 26 October 2014

CERPEN ( KISAH SEDIHKU )



      Aku mempunyai  kisah sedih tentang kucing kasayanganku yang bernama Manis. Aku kutip Manis di tepi tong sampah, yang ketika itu Manis bertubuh sederhana kecil. Aku melihat Manis yang sedang mencium plastik seolah-olah ingin memakan sisa sampah yang berada dalam plastik itu, hati aku menjadi sebak dan air mata aku mula berlinangan, cepat-cepat aku mengesatnya. Lalu aku  pergi kearah Manis dan mengangkatnya kedalam pelukkan ku sambil aku mencium kepalanya “Hanyir” itulah perkataan yang keluar dari mulut ku. 

     Bila pagi nak pergi sekolah  aku akan keluarkan Manis. Bila balik sekolah Manis akan menunggu kepulangan aku di hadapan pintu.  Tiap-tiap hari macam tu. Bila aku buka pintu Manis dengan setianya akan mengekoriku untuk mendapatkan habuan. Selesai saja makan Manis akan datang kepada ku kerana Manis ingin di belai. 

     Pada suatu hari aku tengok ada perubahan kepada Manis. Manis sudah tidak mahu makan. Dah hampir dua minggu Manis tak mahu makan. Bila aku bagi Manis makanan dia cuma ambil bau saja. Makannya tidak. Badannya kurus sehingga bila Manis berjalan, akan ada bunyi ketek-ketek di tapak kakinya dan cara Manis berjalan pun sudah bergoyang. Berbunyi pula tapak kakinya sedangkan kucing berjalan dengan diam kerana tapak kakinya lembut dan ada bulu. Aku dah bawa Manis ke klinik haiwan tetapi keadaan Manis tetap macam tu juga.

     Walaupun Manis sakit tapi aku tetap mengeluarkannya daripada rumahku kerana takut dia membuang najisnya merata-rata. Bila aku balik dari sekolah aku tengok Manis dengan setianya masih lagi menungguku di hadapan pintu sambil berbaring. Bila aku buka pintu, Manis dah tak ikut aku lagi. Cuma Manis berbunyi meow meow  beberapa kali sambil memandang aku dengan sayu. Aku tengok, dan rupanya Manis sudah tak boleh berjalan lagi, mungkin sebab sakit yang teramat. Tapi aku tidak memahaminya.

     Aku pun mengangkatnya untuk membawa masuk ke dalam rumah tapi Manis seakan-akan mahu melepaskan diri. Aku berdegil dan terus mengangkatnya masuk ke dalam rumah. Bila masuk ke dalam rumah aku baringkan Manis di atas kain buruk, lalu aku berikan Manis air dan makanan. Tetapi Manis tetap tidak mahu menyentuh makanan tersebut. Hatiku dah rasa sebak semacam bila melihat Manis yang aku sayang tu seolah-olah sakit yang teramat. Apa yang harus aku lakukan sedangkan Manis baring tidak bermaya. Air mata aku sudah berlinang dan pada bila – bila masa ia akan tertumpah.

     Aku pun tanpa berlengah mengambil air sembahyang lalu duduk dekat dengan Manis sambil membacakan surah YASSIN kepadanya. Walaupun aku tahu Surah YASSIN tu sesuai dibacakan untuk orang yang sedang sakit tenat atau nazak tapi aku telah bacakan di hadapan binatang iaitu Manis yang aku sayang. Sambil membaca surah YAASIN, air mataku tidak berhenti-henti mengalir, kerana aku amat kesian kepada Manis. Manis tetap memandang kepadaku dengan pandangan yang sayu. Aku seolah-olah dapat melihat air mata Manis berlinangan. Manis menangis dan aku pun menangis semahunya. Belum sempat aku menghabiskan bacaan Surah YASSIN, aku dapat dengar bunyi tarikan nafas yang kuat tiga kali. Kali yang ketiga, Manis sudah tidak bernyawa lagi. Ada air liur yang meleleh di mulutnya. Matanya celik, lalu ku usapkan supaya mata Manis pejam. Rupa-rupanya Surah YASSIN itu sesuai juga dibacakan kepada binatang yang sedang sakit tenat. Aku tutup Manis dengan kain sebab aku takut ada bangkai dalam rumah aku.

      Aku belum pernah mengadap bagaimana orang yang hendak meninggal dunia tapi daripada drama dan cerita yang aku tengok seolah-olah sama juga dengan binatang yang hendak mati. Bunyi tarikan nafas yang kuat sebelum nyawanya dicabut. Bila Manis sudah mati aku pun segera menelefon ayahku memberitahu bahawa Manis sudah tiada sambil aku menangis teresak-esak. Pada hari tu aku tidak buat apa- apa kerja rumah mahupun kerja sekolah yang telah ditugaskan oleh cikgu, yang aku tahu hanya  menangis sepanjang hari. Seterusnya bila aku sembahyang aku berdoa kepada Allah jika ada lagi kucing aku yang Allah hendak tarik nyawanya biarlah jangan di hadapan aku kerana aku tidak sanggup menghadapi kematian walaupun cuma binatang.

     Sepanjang hari itu aku berfikir patutlah Manis seolah-olah mahu melepaskan diri bila aku mahu mengangkatnya masuk ke dalam rumah. Manis sudah tahu kematian yang akan menjemputnya. Manis cuma mahu berjumpa dan memandangku sebelum melangkah pergi. Aku amat sedih. Masa aku menaip kisah Manis ni aku tetap mengalirkan air mata walaupun Manis telah meninggalkanku hampir sepuluh. Ini belum lagi kematian orang yang aku sayangi, aku dah menangis sampai bengkak-bengkak mata. Macam mana aku hendak menghadapi kematian orang yang terdekat denganku. Tak sanggup rasanya. Biarlah aku yang pergi dulu tapi takut juga sebab amalan belum mencukupi. Sehingga kini aku masih lagi memelihara kucing. Kini aku memelihara kucig sebanyak  23 ekor. Aku seronok memelihara mereka walaupun kadang-kadang mereka banyak menyusahkan aku.



No comments:

Post a Comment